Sunday 20 May 2012

Sambutan Maulid Rasul di Saujana Impian

Alhamdulillah dapat pengalaman baru menyambut maulid Rasul dengan cara berselawat, bermarhaban bersama dengan Al-Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid di surau Saujana Impian kajang. Acara bermula dengan nasyid oleh kumpulan kanak-kanak, Diikuti dengan marhaban dan tazkirah ringkas olelh Al-Habib.

Pengalaman ini merupakan yang pertama bagi aku dikelilingi oleh orang-orang berjubah putih bersih yang wangi dan berserban di kepala serta kain serban di bahu. Mereka semua begitu semangat bermarhaban tidak kira lelaki atau pun perempuan. Dari kanak-kanak kecil sehingga pakcik pakcik dan makcik makcik tua, semua sangat bersemangat melaungkan marhaban tanda cinta kepada Rasulullah.

Selepas solat isyak, kami dijamu dengan nasi beriyani yang dihidangkan dalam dulang. Alangkah berkatnya InsyaAllah.

Sedikit perkongsian tentang tazkirah ringkas dari Al-Habib Ali. Allah memerintahkan kita untuk berbuat adil dan ihsan. Apa itu adil dan apa itu ihsan? Adil bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya manakala ihsan pula adalah berbuat baik. Secara zahirnya, kedua-dua ini nampak seperti serupa tetapi sebenarnya sangat berbeza.

Hendak dimudahkan bicara, ihsan itu makamnya lebih tinggi daripada adil. Hendak berbuat adil lebih senang daripada hendak berbuat ihsan. Contoh senario.

Senario A - Ahmad menziarahi Amir ketika Amir sedang sakit tempoh hari. Ketika Ahmad sedang sakit, Amir juga pergi menziarahi Ahmad di rumahnya.

Senario B - Ahmad bergaduh dengan Amir sehingga putus sahabat. Amir yang terasa dizalimi oleh Ahmad sedangkan dirinya benar-benar tidak bersalah, memutuskan untuk memaafkan Ahmad dan pergi menemui sendiri Ahmad untuk menyambungkan kembali tali silaturrahim yang sudah terputus itu walaupun pada hakikatnya Ahmad yang bersalah.

Senario A adalah ADIL dan senario B adalah IHSAN. Adil kerana saling menyambung silaturrahim. Baik dibalas dengan baik. Ihsan kerana menyambung kembali silaturrahim yang terputus akibat dizalimi. Orang buat jahat dibalas dengan kebaikan. DOa orang yang dizalimi adalah sangat makbul tetapi alangkah ruginya jika digunakan untuk mendoakan kehancuran golongan-golongan tertentu. Alangkah indahnya jika digunakan keistimewaan itu untuk mendoakan yang baik-baik yang dapat memeberikan manfaat kepada semua orang.

Moga moga kita semua akan berusaha untuk berlaku adil dan ihsan dalam kehidupan kita, insyaAllah walaupun pada hakikatnya dua-dua ini adalah suatu perkara yang sangat susah. Mohon pada Allah dalam setiap doa kita dan berusahalah dengan usaha yang bersungguh sungguh insyaAllah dijadikan sebahagian dalam diri kita.


No comments:

Post a Comment