Wednesday 12 October 2011

Jagalah kesihatan perut

Perut merupakan tempat makanan dicerna dan dihadam. Saluran penghadaman manusia bermula daripada mulut dan berakhir di lubang dubur. Bermula dari mulut, makanan sudah mula dicerna secara fizikal iaitu dengan gigi dan juga dengan enzim-enzim yang dirembes di mulut kemudian dibawa ke perut secara peristalsis dan seterusnya dicerna sekali lagi sehingga semua makanan tersebut menjadi molekul-molekul yang kecil dan mudah untuk diserap untuk metabolisma badan kita.

Cuba bayangkan jika tiada proses penghadaman ini, bagaimanakah makanan yang kita makan dapat membekalkan tenaga kepada kita? Makanan yang diambil akan terus ke lubung dubur tanpa dapat diserap dan digunakan oleh tubuh badan kita. Oleh itu sangat penting bagi kita menjaga kesihatan perut kita ini daripada segala benda yang boleh menjejaskan fungsi perut kita.

Kita juga harus memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita ini adalah makanan yang akan memberi manfaat kepada metabolisma kita, bukannya makanan yang sia-sia seperti ''junk food '' yang tidak layak dipanggil makanan, hanya ''Junk'' sahaja. Makanan ini hanya menyebabkan perut kita bekerja untuk satu benda yang sia-sia sahaja.

Hindari dari mengambil makanan yang penuh dengan bahan awet kerana dalam satu kajian bahan-bahan seperti pewarna, pemanis, pengawet dan sebagainya menyumbang kepada penyakit kanser. Bahan-bahan ini merupakan toksik kepada badan yang akan menghasilkan radikal-radikal bebas yang bertanggungjawab terhadap penyakit kanser. The National  Cancer Institute menganggarkan sekurang-kurangnya  35 % daripada kanser mempunyai hubungan yang kuat dengan faktor pemakanan penghidapnya semata-mata.

Di dalam Al-Quran, Allah telah mengajar kita untuk memilih makanan yang terbaik.

" Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang Halal lagi Baik.." [Al-baqarah:168]

Halal di sini bermaksud segala makanan yang tidak bahaya dunia dan akhirat manakala Toyyib atau Baik adalah makanan yang sihat, bersih, lazat, serta berzat. Oleh itu, Islam menyarankan agar kita memilih makanan yang terbaik. Yang terbaik sekali adalah makanan yang dimasak sendiri yang kita ketahui sumber makanan tersebut serta kebersihannya. Namun, jika kita tidak memasak, pastikan kedai makan yang dipilih itu diyakini sumber makanannya serta kebersihan kedai tersebut.

Pemakanan secara berlebihan tanpa dikawal yang mengandungi kalori semata-mata tanpa zat-zat juga boleh menyebabkan pelbagai penyakit zaman Moden. Kencing Manis, tekanan darah tinggi, gout dan sebagainya merupakan penyakit yang boleh dielakkan sekiranya kita menjaga segala makanan yang dimasukkan ke dalam perut kita. Sesungguhnya mencegah itu adalah lebih baik dari mengubati.

InsyaAllah dalam artikel-artikel yang seterusnya akan saya kupas sedikit mengenai penyakit-penyakit yang berasal daripada perut ini. Moga kita bersama-sama menjaga amanah Allah kepada diri kita ini untuk kita gunakan mencari keredhaanNya selagi hayat dikandung badan.