Saturday 19 November 2011

peringatan dari orang sakit

Selama berada di hospital ini, terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil. Terpulang kepada kita bagaimana untuk kita menilainya. Seandainya kita melihat hanya dengan mata fizikal, maka apa yang kita akan lihat hanyalah benda yang ada di depan mata kita. Contohnya apabila melihat seorang pesakit yang sedang koma, maka yang akan difikirkan hanyalah kenapa dia koma dan bagaimanakah hendak merawatnya agar dia kembali semula sedar dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Apabila pesakit sudah sembuh, maka selesailah tugas kita.

Tetapi jika kita melihat dengan mata hati, maka kita akan melihat bukan secara fizikal sahaja tetapi juga melihat apa yang Allah hendak beritahu kepada kita. Perspektif pemandangan kita akan menjadi lebih luas lagi dan ini secara tidak langsung akan sentiasa menjadi peringatan kepada diri kita tentang siapa diri kita yang sebenar. Berbalik kepada contoh tadi, apabila kita melihat orang yang sedang koma, kita juga akan berfikir seperti sebelumnya tetapi ditambah dengan memikirkan betapa nikmatnya nikmat kesihatan ini. Nyawa hamba seperti kita ini memang milik Allah tuhan pencipta kita sahaja. Dia boleh menariknya bila-bila masa sahaja.

Itu hanyalah sebahagian dari apa yang selalu berlaku di hospital. Sedikit perkongsian dari seorang bekas penagih Heroin yang sedang menjalani rawatan Methadone yang insyaAllah akan memberi banyak manfaat kepada diri kita. Untuk meninggalkan methadone memerlukan satu jihad yang tinggi. Semua orang melakukan kesilapan tetapi tidak semua orang berupaya untuk melakukan taubat. Untuk meninggalkan benda yang sudah sebati dalam diri selama berpuluh-puluh tahun memang susah. Tetapi kesungguhan untuk golongan seperti ini berubah haruslah dicontohi.

Melihat kepada diri kita yang mungkin jauh sekali dari Herooin ini, tapi semestinya tidak lepas dari melakukan perkara2 yang tidak mendatangkan manfaat juga atau kata lainnya benda lagho, tanyalah pada diri kita ini adakah kita pernah berazam untuk membaiki diri kita? Adakah kekuatan diri yang kuat untuk kita meninggalkan benda2 yang best tapi lagho? Menonton cerita-cerita sehingga larut pagi sehingga terlepas subuh? Bermain game sehingga terlepas solat 5 waktu secara berjemaah? Melayan facebook berjam-jam sehingga tidak study?

Setiap orang akan diuji dengan cara-cara berbea dan akan dinilai dan diberi ganjaran berdasarkan keupayaan masing-masing menangani ujian tersebut.

Antara faktor-faktor yang mendorong untuk golongan penagih ini berubah adalah apabila memikirkan keluarga masing-masing. Mereka sayang kepada keluarga mereka. Semua orang juga begitu saya rasa. Semua orang inginkan yang terbaik untuk ahli keluarga masing-masing. Sebagai seorang yang faham agama, faham apa tugas kita sebagai hamba kepada Allah, maka yang terbaik untuk ahli keluarga kita adalah supaya mereka mengikut jalan yang akan membawa kepada keredhaan ALlah. Untuk mencapai tujuan ini, bukanlah satu perkara yang mudah di zaman ini. Oleh itu kepada bakal-bakal ibubapa sekalian, persiapkan diri kita dari hari ini jika anda sayangkan ahli keluarga anda. Jika kita mahu ahli keluarga kita selamat dunia dan akhirat maka mari bermula dari diri kita sedari saat ini.

Moga si bekas penagih berjaya dalam jihadnya dan seterusnya akan terus berjihad mengejar redha Allah.
Moga si penonton cerita sampai larut malam dan pemain-pemain game berjaya dalam jihad untuk solat subuh berjemaah di awal waktu.

Terima kasih guru-guru yang memberi peringatan ini. Moga ilmu kalian dapat kusampaikan pada generasi-generasi penerus kesinambungan dakwah insyaAllah.

Monday 14 November 2011

Dunia akhir zaman

Semasa sedang makan di sebuah kedai makan, terdapat sekumpulan anak-anak muda, seorang lelaki dan 5 orang perempuan yang berumur 20-an. Tiba-tiba datang seorang wanita yang berpakaian menjuluk mata memasuki kedai makan tersebut. Kecoh seketika meja anak-anak muda tersebut. Yang lelakinya melihat tiada berkelipan manakala yang perempuannya pula tanpa segan silu memperkatakan tentang wanita tersebut di anatara mereka. Malah lebih dari itu, yang perempuan sanggup menolong lelaki itu untuk melihat wanita tersebut dengan menyelindungkan lelaki itu agar tidak terkantoi perbuatan mereka itu.

Saya melihat perbuatan mereka ini adalah akibat hilangnya rasa malu di antara lelaki dan perempuan. Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan santun dan malunya. Lelaki dan perempuan berjalan dalam satu kumpulan sangat janggal dilihat. Apatah lagi berbicara bersama tentang hal ehwal dalaman wanita. Bergelak-gelak di antara teruna dara juga sudah dipandang serong oleh orang kampung.

Dunia tanpa sempadan menyaksikan dugaan dan cabaran yang melanda muda mudi zaman sekarang sangat besar. Sekiranya mereka tidak mempunyai kekuatan diri maka dengan mudah mereka akan hanyut di bawa arus globalisasi ini. Bagi yang sudah hanyut, amat susah untuk kita selamatkan kembali golongan ini melainkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang melibatkan semua pihak bermula dari dalam keluarga sehinggalah kepada golongan pemimpin negara.

Secara realitinya, perkara tersebut adalah mustahil untuk kita lakukan pada zaman sekarang. Lihat berapa banyak masjid-masjid dibina tetapi pada masa yang sama berapa banyak majlis-majlis yang boleh mengundang maksiat tetap diteruskan. Oleh kerana itu, mari kita perkasakan institusi-institusi keluarga yang kecil ini dengan menguatkan diri kita sendiri sebagai bakal bapa dan bakal ibu. Perteguhkan ilmu kita tentang tujuan sebenar penciptaan kita oleh tuhan. Adakah hanya untuk menurut hawa nafsu atau mempunyai satu agenda yang sangat besar di muka bumi Allah ini.

Allah berfirman:

''demi masa! sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali yang beriman dan beramal soleh. dan berpesan-pesan pada kebenaran serta pada kesabaran''

Isilah masa kita dengan amal-amal soleh iaitu benda-benda yang tidak merugikan kita di hari akhirat nanti. Pastikan setiap apa yang kita lakukan di dunia ini hatta jika kita menonton wayang sekalipun, pastikan ia tidak merugikan diri kita di akhirat nanti. Sekiranya merugikan, maka janganlah ragu-ragu untuk tinggalkannya.
Azamlah demi keluarga,saudara yang kita kasihi Lillahitaala.

Buat dulu



Di klinik sebentar tadi, saya dan rakan-rakan sibuk menemu ramah pesakit-pesakit yang datang.
Kebanyakan pesakit yang datang adalah pesakit Diabetis Melitus dan Hypertension.
Antara perkara yang wajib kami lakukan adalah menanyakan kepada mereka adakah mereka tahu tentang sakit mereka dan komplikasi-komplikasi yang boleh terjadi sekiranya penyakit mereka tidak dikawal. Kami juga harus menasihatkan tentang bagaimana hendak mengamalkan gaya hidup yang sihat serta diet yang seimbang. Selepas itu baru dinasihati tentang kepentingan memakan ubat-ubatan yang telah diberi.

Bila difikir kembali, kadang-kadang terdapat doktor yang tidak mengambil berat tentang kesihatan. Makan ikut suka dan malas bersukan yang akhirnya menghasilkan kondisi-kondisi seperti obesiti dan sebagainya. Yang lebih mendukacitakan adalah budaya merokok di kalangan doktor.

Allah berfirman; 

''sangatlah dibenci di sisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan'' - surah as-Saff:3

Secara psykologinya, manusia belajar dengan melihat apa yang ada di sekelilingnya. Seperti seorang kanak-kanak akan belajar sikap ibubapanya. Begitu juga seorang doktor. Jika doktor itu seorang yang obese, maka secara psykologinya sangat susah untuk seseorang itu mendengar nasihat doktor supaya mengurangkan berat badan.

Oleh itu, saya ingin menasihatkan pada diri saya supaya sentiasa rajin menjaga kesihatan yang tuhan telah kurniakan ini. Jaga tahap kolesterol, gula serta kekalkan berat yang seimbang. Jumpa pesakit Lillahitaala. insyaAllah kita akan dipermudahkan dalam segala kerja kita.