Tuesday 17 April 2012

Perumpamaan Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Allah berfirman " Perumpamaan mereka seperti orang yang nyalakan api setelah menerangi sekelilingnya, Allah melenyapkan cahaya mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta sehingga mereka tidak dapat kembali. " (surah al-baqarah ayat 17-18)

Allah memberikan perumpamaan iman itu sebagai cahaya api yang menerangkan keadaan sekelilingnya. Iman merupakan perkara asas dalam pembinaan sebuah bangunan. Ia menjadi tapak kepada tertegaknya sebuah bangunan yang kukuh. Jika tiada asas yang kukuh maka bangunan setinggi mana atau secantik mana pun akan runtuh dengan sendirinya suatu hari nanti.

Oleh kerana itu, jika tiada cahaya maka kehidupan seseorang itu akan terganggu serta akan musnah kerana setiap gerak langkahnya hanya berdasarkan agakan sahaja atau cubaan yang boleh mengundang kesilapan. Iman memberikan kehidupan kepada manusia. Dengannya manusia akan dipandu dengan jelas, mereka tahu bahawa hidup ini hanya sementara, oleh itu dijalani hidup ini dengan hati-hati mengikut segala yang telah diperintahkan tanpa melanggar segala arahannya.

ALlah juga menyebut bahawa Allah bisa untuk menarik kembali cahaya yang sudah diberikannya kerana dia Maha Berkuasa kepada segala-segalanya. Oleh itu, setiap manusia sepatutnya harus bersyukur dan sentiasa berdoa agar iman yang dikurniakan ini akan sentiasa bertambah dan kekal dalam diri kita sehingga akhir hayat kita kerana tanpa iman maka kita tidak akan kembali kepada Allah dalam keadaan gembira. Kita akan menjadi seorang yang sentiasa menyesal dan berharap agar dapat kembali semula ke dunia untuk melakukan ibadat tetapi Allah tahu bahawa sesal kita itu tiada gunanya lagi.

Akhir sekali, orang tanpa iman Allah mengumpamakan seperti orang yang bisu, buta dan tuli. Mereka ada semua pancaindera tetapi entah kenapa mereka tidak menggunakannya dengan baik. Ada mata tetapi tidak mahu melihat kebesaran Allah, hanya melihat perkara maksiat. Ada telinga tetapi hanya mahu mendengar perkara-perkara yang sia-sia sahaja. Ada mulut tetapi tidak pernah diseru kepada yang makruf malah selalu berbohong, mengumpat, memfitnah dan sebagainya.

Ingatlah sahabatku, kita akan disoal di hadapan Allah di hari pembalasan kita nanti. Sekiranya iman kita tidak pernah bertambah malah makin berkurang dan berkurang sehingga menjadi senipis debu, maka pada hari itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita dari azab Allah. Oleh itu, selalulah berdoa kepada Allah agar dihidupkan dalam iman, dimatikan dalam iman dan dibangkitkan dalam iman. Sesungguhnya Iman itu tidak datang bergolek sahaja tanpa kita berusaha tetapi adalah hasil daripada usaha yang berterusan tanpa mengenal rasa jemu dan bosan.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment